WeveMoved_001

Click Here

or

You will be auto redirect to our new webportal in 1 second

Unimap, AUCMS meterai MoU

Print
MOUBANDUNG 12 Julai - Lawatan kerja Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) ke Bandung, Indonesia berjaya menghasilkan kerjasama erat dalam usaha untuk mempertingkatkan mutu pendidikan antara penuntut Malaysia dan Indonesia.

Unimap menjalin kerjasama dengan Universiti Padjadjaran (Unpad) dalam beberapa bidang pengkhususan yang terdapat di kedua-dua universiti untuk dikongsi bersama oleh pelajar masing-masing, sekali gus mengeratkan hubungan antara Malaysia dengan Indonesia.

Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, menerusi kerjasama seumpama itu, Unimap dengan Unpad dapat memperluaskan bidang akademik selaras dengan kemajuan pesat di universiti masing-masing.

"Pelajar boleh menceburi bidang baharu yang tidak terdapat di universiti masing-masing kerana mempunyai pilihan menerusi kerjasama yang dijalankan," katanya sebelum menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pendidikan Antara Unimap dengan Unpad di sebuah hotel terkemuka di sini, baru-baru ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor Unimap bersama Raja Puan Muda Perlis yang juga Canselor AUCMS masing-masing menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut yang dijalankan secara berasingan di hotel berkenaan.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Azizan Hamid dan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Datuk Paduka Dr. Junaidy Abu Bakar.

Unimap diwakili oleh Kamarudin, manakala Pembantu Rektor Unpad, Prof. Dr. Tb Zulrizka Iskandar menandatangani MoU tersebut mewakili universitinya.

Unipad kini mempunyai 16 fakulti antaranya kedoktoran, pertanian, ilmu sosial dan politik, psikologi, perikanan dan ilmu kelautan, farmasi, kedoktoran gigi, penternakan serta teknik geologi.

Sementara itu, AUCMS membuka cawangan pengurusannya di Medan, Indonesia untuk membuka ruang kepada penuntut Indonesia yang mahu mengikuti pengajian di AUCMS Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

Menurut Presiden AUCMS, Datuk Dr. Zainuddin Wazir, menerusi cawangan tersebut, pihaknya menyasarkan lebih ramai pelajar dari Indonesia termasuk di Bandung yang akan mengikuti kursus ditawarkan di AUCMS.

"Selain Kepala Batas, AUCMS mempunyai sebuah lagi cawangan di Kangar, Perlis yang akan beroperasi bulan depan," kata beliau selepas Pelancaran Operasi AUCMS di Indonesia oleh Raja Muda Perlis di hotel berkenaan.

Zainuddin juga menandatangani perjanjian kerjasama dengan pihak AUCMS di Indonesia yang diwakili pengurus jualan dan pemasarannya, Donny Nauphar.

"Indonesia mempunyai ramai penduduk dan sudah tentu terdapat dalam kalangan mereka yang layak untuk mengikuti pengajian tertentu seperti kedoktoran sebagaimana ditawarkan oleh AUCMS, tetapi menghadapi kekangan kewangan.

"Jadi, kami tawarkan kepada mereka bidang pengajian ini dengan harga yang rendah jika dibandingkan dengan IPT di Eropah," tambah beliau.

Sebagai contoh, kata Zainuddin, kos yang ditetapkan oleh IPT di Malaysia bagi bidang tersebut hanya serendah RM60,000 berbanding bayaran empat kali ganda yang dikenakan oleh universiti lain termasuk di Ireland.
Developed By IT Dept Of AUCMS
Academic Inquiry - Click Here
Inquiry -