Institusi pendidikan perubatan terkemuka, Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS)
yang baru dinaikkan taraf sebagai kolej universiti, berhasrat untuk menambah empat fakulti baru menjelang September ini. Empat fakulti baru itu adalah Sains Sukan, Pengurusan dan Pendidikan Perubatan, Hospitaliti Perubatan dan Pelancongan serta Perubatan Tradisional.
Presiden AUCMS, Datuk Dr. Zainuddin Md. Wazir berkata, keputusan untuk menambah fakulti berkenaan adalah selaras dengan usaha pihaknya mewujudkan kursus-kursus baru yang memenuhi keperluan semasa, khususnya dalam bidang perubatan.
‘‘Kita sudah menghantar permohonan kepada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mengenai hasrat untuk mewujudkan beberapa lagi fakulti yang bakal menyaksikan penawaran kursus-kursus baru.
‘‘Jika semua berjalan lancar, kita harap fakulti-fakulti ini akan diwujudkan selewat-lewatnya menjelang September tahun ini,” katanya selepas merasmikan Program Fiesta Aspirasi Seni dan Kebudayaan AUCMS di sini baru-baru ini.
AUCMS yang sebelum ini dikenali sebagai ACMS, ditubuhkan sejak 2002 dan merupakan salah satu kolej universiti swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pengajian Tinggi serta memfokuskan kepada pendidikan perubatan dan sains kesihatan bersekutu.
Setakat ini, AUCMS mempunyai empat fakulti yang menyediakan pelbagai kursus kepada para penuntut lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), matrikulasi dan setaraf dengannya iaitu Fakulti Perubatan, Kejururawatan, Fisioterapi dan Sains Bersepadu.
Mengulas lanjut, Zainuddin memberitahu, fakulti-fakulti yang akan diwujudkan memberi fokus dalam memenuhi keperluan bukan sahaja daripada segi kecemerlangan akademik, tetapi juga dalam bidang sukan serta kebudayaan.
Beliau memberi contoh, Fakulti Sains Sukan turut merangkumi penubuhan akademi bola sepak yang menyediakan aktiviti latihan serta penganjuran kejohanan bola sepak.
Sumber - UTUSAN

